Adsterra

Rabu, 9 Mac 2011

Rojak Buah

Alhamdulillah, akhirnya aku sudah menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan. Aku sekarang jual rojak buah 1 bungkus rm 2.00. Mula berniaga pada hari Rabu bertarikh 30.6.2010. Pengalaman pertama rasa malu sangat, maklumlah baru pertama kali berniaga di tepi jalan. Orang ramai yang lalu-lalang asyik pandang pada aku, mereka mungkin tertanya-tanya apa agaknya yang aku sedang jual. Tebalnya muka aku tuhan saja yang tahu, hari pertama kenalah kawal perasaan malu aku ini. Bukan senang hendak mencari sesuap rezeki yang halal, kenalah tabah dengan dugaan yang sekelumit ini.
Berbekalkan sedikit modal aku telah membeli meja lipat 6 kaki bersama papan 3 keping, alas meja, payung, 2 buah kerusi plastik, tong buah, tong air, polestrem, plastik, lidi, gelas plastik, gelang getah, baldi, tong air putih, tabung kuah rojak, tabung kacang hancur, tabung air gula dan senduk air gula.
Aku menyediakan 8 jenis buah-buahan untuk rojak, terdiri daripada buah mangga, nenas, betik, kedondong, sengkuang, mentimun, jambu batu, apple hijau dan akhir sekali satu bahan rahsia (nak tahu jemputlah datang ke gerai rojak buah aku).
-->
Pelanggang aku terdiri daripada kaum Cina dan kaum India, orang Melayu dan orang Jawa kurang dekat tempat aku berniaga. Taman tempat aku berniaga memang ramai orang Cina dan India. Syukur pada Allah kerana mereka memberi sokongan kepada perniagaan aku yang tidak seberapa ini.
Pada hari pertama berniaga tiada seorang pun pelanggang yang datang membeli rojak buah, mereka sekadar pandang sahaja. Pada hari ke 2 barulah pelanggang datang membeli sebanyak 7 bungkus. Senang hati apabila ada pelanggang yang sudi memberi tunjuk ajar tentang cara-cara berniaga.
Terima kasih kepada Tuan Hazrat dan Puan Mar Ain, kerana sudi memberi resepi rahsia kuah rojak. Betul-betul killer. Semoga Allah memberi kebaikkan dan kemuliaan kepada keluarga beliau selama-lamanya.
-->
Seorang pelanggang bernama Mohd Khairul sudi berkongsi resepi macam mana untuk membuat kuah rojak sedap dan lazat. Beliau sanggup pergi ke Kajang berjumpa dengan kakaknya belajar cara-cara memasak kuah rojak untuk diberikan kepada aku. Budi dan jasa beliau aku sanjungi sampai ke akhir hayat, terima kasih banyak-banyak. Mudah-mudahan Allah akan memberi rahmat dan nikmat kepada beliau dan keluarga selama-lamanya.
-->
Waktu urus niaga bermula dari 2.00 petang sehingga 5.00 petang sahaja. Mudah-mudahan tuan-tuan dan puan-puan mendoakan kebaikkan untuk perniagaan aku ini, semoga rezeki yang mengalir biarlah halal dan suci serta sentiasa dicucuri rahmat dan nikmat oleh Allah. Jemputlah datang kalau mahu makan rojak buah di Jalan Persiaran Taman klang Utama.

Ini peta tempat aku berniaga rojak buah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan