Adsterra

Isnin, 18 Oktober 2010

Kemalangan Jalan Teluk Kapas

Selalunya kalau mahu ke pasar aku akan lalu Jalan Palembang, tetapi pagi ini aku lalu Jalan Tarmizi. Pelik juga rasanya kerana kalau lalu Jalan Tarmizi untuk ke pasar jaraknya lebih jauh 2 km. Tetapi aku bantai juga lalu Jalan Tarmizi, sambil itu mata aku liar mencari gerai yang ada jual sarapan pagi. Mahu makan roti canai dan minum teh tarik.

Tiba di simpang 3 Jalan Teluk Kapas satu dentuman kuat terdengar dan ada kelibat 2 orang manusia melayang ke udara, aku tercengang dan bingung sekejap. Perasaan gemuruh tiba-tiba menerjah kerana melihat satu kemalangan yang melibatkan sebuah kereta dan sebuah motorsikal.

INNALILLAHIWAINNAHILAIHIROJIUN.

Teringat peristiwa lama, perasaan fobia dengan eksiden menghantui diri aku. Aku parking motorsikal mahu membantu mangsa tetapi pengguna jalan raya yang lain sudah memberi bantuan kecemasan terlebih dahulu. Aku secara tidak langsung menjadi pengawal lalu lintas, kemalangan baru berlangsung 10 minit sudah menyebabkan kesesakkan lalu lintas sepanjang 1 km.

Sekarang adalah waktu kemuncak orang bergegas mahu ke tempat kerja, pemandu motorsikal lelaki cedera parah tidak bergerak berada di tengah-tengah jalan raya. Manakala pembonceng wanita terpelanting ke susur jalan raya dalam keadaan terduduk kesakitan, tidak boleh baring dan tidak boleh bergerak. Aku rasa pinggang dan kedua-dua belah kaki wanita itu patah. Motorsikal pula terhumbang ke dalam parit hancur remuk.

Kesian sangat dengan keadaan mangsa, aku tidak sampai hati mahu melihat kesakitannya. Pemandu kereta panik, wajah bertukar pucat lesi dan masih dalam keadaan terkejut tanpa memberi sebarang bantuan kecemasan kepada mangsa.

Penduduk tempatan mula memenuhi tempat kejadian, ada suara sumbang mahu belasah pemandu kereta. Keadaan jadi sedikit tegang orang ramai yang tidak berpuas hati cuba mencari kesalahan demi kesalahan pemandu kereta.

Nasib baiklah ada seorang otai yang berhemah tinggi berbudi pekerti dapat meleraikan kejadian yang tidak diingini. Keadaan menjadi tenang dan ambulan tiba mengambil ke 2-2 mangsa dan pemandu kereta turut sama pergi ke hospital.

Harap-harap ke 2-2 mangsa selamat dan sembuh seperti sediakala. Mudah-mudahan Allah akan merahmati mereka berdua. Amin.

Kepada kawan-kawan, berhati-hati semasa memandu. Selamat memandu secara berhemah dan berdisiplin. Ingat orang yang tersayang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan