Sudah 2 hari berturut-turut aku di ganggu mimpi ngeri yang menakutkan. Ada sekumpulan asap kelabu berkepala hitam datang memaki hamun pada aku. Seorang lelaki hitam tanpa baju yang hanya berkain kuning sedang sibuk menjalankan upacara memuja sebuah patung berupa beruk siluman (berbadan manusia berkepala beruk). Sambil membaca mentera dan jampi serapah lelaki hitam itu berkeliling patung beruk berkali-kali. Disekeliling kaki patung beruk ada piala berisi darah sembahan.
Sekumpulan asap kelabu berkepala hitam bertenggek di atas sebuah tiang tinggi, lidahnya menjulur panjang menjilat-jilat darah dari piala yang ada disekeliling kaki patung beruk. Mulutnya sedang sumpah seranah aku dalam bahasa yang aku tidak faham. Marah sungguh dia pada aku, matanya merah seolah-olah mahu telan aku hidup-hidup. Aku hanya mendongak tanpa bersuara, rasa takut datang menerpa seluruh badan. Dalam masa yang sama ada sejumlah ulat-ulat hitam yang sedang bergulung seperti ulat gonggok sebesar biji-biji tasbih sedang bersarang di atas kepala aku. Kulit kepala aku terasa sungguh gatal dan menjadi geli-geleman. Dengan sekelumit doa yang terkeluar dari mulut, aku dapat membuang semua ulat-ulat hitam itu.
Persekitaran tempat permujaan lebih tertumpu kepada sebuah kuil kecil, tetapi di mana tempatnya aku tidak tahu. Suasana sungguh kelam dan menyeramkan dikelilingi tembok-tembok berupa patung-patung yang berkepala binatang dan berbadan manusia.
Sekumpulan asap kelabu berkepala hitam mahu minum darah daripada badan aku, hanya Allah saja yang tahu betapa takutnya aku pada masa itu. Dan Allah itu Maha Besar, Dia tidak membiarkan aku sendirian menghadapi mimpi ngeri itu. Ada seorang hamba Allah datang membantu aku pada saat-saat yang genting dan menghalang cita-cita sekumpulan asap kelabu berkepala hitam itu daripada mengapa-apakan aku.
Allah Hu Robbi, tidak dapat aku gambarkan betapa sengitnya pertempuran di antara hamba Allah yang datang menyelamatkan aku daripada ancaman sekumpulan asap kelabu berkepala hitam dan lelaki hitam tanpa baju yang hanya berkain kuning itu. Aku dilindungi sebuah tembok lutsinar dan hanya memerhatikan sahaja pertempuran yang sedang berlaku. Aku langsung tidak dapat keluar daripada tembok lutsinar itu untuk membantu hamba Allah itu.
Kaki kiri hamba Allah yang datang membantu aku tercedera terbakar terkena libasan cemeti api daripada lelaki hitam tanpa baju yang hanya berkain kuning itu. Tetapi lelaki hitam tanpa baju yang hanya berkain kuning itu lebih teruk kecederaannya kerana di sambar petir api bertubi-tubi, luka di seluruh badannya parah.
Aku tiba-tiba terjaga daripada tidur, perkataan pertama terucap astagfirullahhalazim. Badan aku berpeluh serta menggigil dan aku cepat-cepat membaca doa:
أَللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوْذُ بِكَ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ
وَسَيِّئاَتِ اْلأَحْلاَمِ
ALLOHUMMA INNII A’UUDZUBIKA MIN ‘AMALISY SYAITHOON,
WA SAYYI-AATIL A_HLAAM
Ya Allah aku berlindung kepadaMu dari perbuatan syaitan
dan buruknya mimpi
رواه إبن السنى
( الأذكار 93 )
Lihat kitab Al-Adzkaar halaman 93
Lalu aku meludah 3 kali ke arah kiri, sekadar ambil syarat agar mimpi ngeri tidak akan berulang lagi. Aku pandang isteri yang sedang nyenyak tidur, Alhamdulillah syukur isteri aku tidur dengan tenang tanpa sebarang gangguan. Jam menunjukkan angka 4.30 pagi.
Tanpa melengahkan masa aku masuk ke bilik air mengambil wuduk dan membuat 2 rakaat solat sunat taubat, solat sunat tahjud dan solat sunat hajat. Memohon perlindungan daripada Allah agar aku sekeluarga terselamat daripada ancaman iblis, syaitan, jin, makhluk halus dan gangguan sihir. Mudah-mudahan aku sekeluarga sentiasa dilindungi oleh Allah.
Esoknya pada sebelah malam aku pergi berjumpa seorang ustaz dan meminta beliau merawat aku dan isteri daripada perkara jahat. Beliau beritahu pada aku, salah seorang pesakit yang datang mengurut dengan aku ada amalkan sembah yang DOT DOT DOT. Amalan sembah yang DOT DOT DOT itu memang bahaya sebab ada persembahan darah manusia dan darah binatang. Jadi secara tidak langsung para iblis, syaitan dan jin ini akan ambil kesempatan kepada keturunan anak Adam yang alpa macam aku ini. Ikutkan hati, aku taubat sudah tidak mahu tolong golongan penyembah sembah yang DOT DOT DOT ini. Perit betul kena ganggu 2 malam berturut-turut, macam ada orang cekik aku semasa tidur.
Na U’zu Billah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan