Rabu, 1.6.2011, masa berjalan sungguh perlahan, debaran di dada mengcengkam jiwa. Kesian isteri aku kerana bergelut dengan kesakitan dari pukul 11.00 pagi sampailah ke pukul 6.00 pagi, 19 jam menahan kesakitan untuk bersalin. Sekejap pengsan sekejap sedar, aduh tidak sampai rasanya hati ini tengok beliau kesakitan. Sabar ya sayang, pintu syurga sedang terbuka luas untuk mu.

Allah Huakbar, Allah Huakbar, Allah Huakbar,
Alhamdullilah, 6.30 pagi, hari Khamis, 2.6.2011, bersamaan 29 jamaldilakhir 1432, doktor suruh masuk ke bilik bedah, tepat 7.10 pagi isteri aku selamat bersalin anak lelaki berat 2.8 kilogram. Barulah lega rasa hati ini, mama orang paling penat sebab menjaga isteri aku sampai tidak tidur langsung. Terima kasih banyak-banyak budi dan jasa baik mama tidak dapat kami balas sampai mati.
Walaupun nampak lesu dan penat isteri aku tetap tersenyum ceria kerana sudah menjadi seorang ibu. Mudah-mudahan beliau akan menjadi ibu yang baik dan penyayang. Terima kasih kerana menjadi isteri dan ibu, semoga Allah sentiasa mencucuri rahmat dan nikmat kepadamu.
Akhirnya aku bergelar "ayah", beratnya tanggungjawab yang perlu aku pikul. Mudah-mudahan Allah memberi aku petunjuk dan hidayah yang lurus agar aku dapat menjalankan tanggungjawab dan amanah dalam mendidik anak ini menjadi orang yang berguna suatu hari nanti. Sehelai kain putih yang perlu aku corak untuk menjadi sebuah lukisan yang cantik.
Hari ke 3, Sabtu, 4.6.2011 isteri dapat keluar dari hospital, terus bawa pulang berpantang ke rumah mama.
Hari ke 4, Ahad, 5.6.2011 dengan segala tawaduk dan rendah hati aku dan mama telah ke Masjid Ahmadi Rantau Panjang bersolat subuh di sana. Aku telah membuat temujanji dengan Tuan Iman Fathi Yakan untuk Tahnik anak sulung aku, Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar seperti yang di rancang.
"Ya Allah, terima kasih kerana memberi aku isteri, anak dan rezeki yang melimpah ruah. Lindungilah keluargaku, berilah keberkatan dan kenikmatan." Amin.