Adsterra

Selasa, 30 Mac 2010

RAWATAN GANGUAN MAKHLUK HALUS.












KAEDAH MENGGUNA DAUN BIDARA

Pilih daun bidara yang segar, tidak dirosakkan serangga atau haiwan. Bersihkan.
Hancurkan daun dengan ditumbuk mengunakan batu atau lesung batu, jangan sampai lumat.
Daun yang telah hancur dibancuh pula dengan air bersih. Minum sedikit (1-3 teguk) dan yang lebihnya dicampurkan dengan air dalam 1 baldi untuk mandi. Mandi dilakukan sebelum masuk waktu maghrib. Curah air rumusan daun bidara dikepala dahulu kemudian keseluruhan badan. Biar kering dibadan tanpa dilap. Ulang selama 3 petang berturut. Selepas itu, jika masalah masih belum reda, ulang mandi waktu malam sebelum tidur. Jika pesakit ada masalah paru-paru berair teruskan mandi waktu petang.

PERHATIAN: Sebelum mandi dengan air daun bidara, bersihkan badan dengan mandi biasa. Mandi dengan membasahi kaki dahulu kemudian maju keseluruhan badan. Selesai mandi biasa, barulah diikuti dengan mandi air rumusan daun bidara dengan mencurahkan air rumusan daun bidara di kepala dahulu. Biarkan ia kering sendiri dibadan tanpa dilap. Daun bidara dan air perlu didoakan oleh perawat Darussyifa' atau doa sendiri mengikut kaedah Darussifa'.

Maklumat ini diberikan Ustaz Din Meru (murid lapis ke5 Tuan Guru Dato Harun Din) kepada saya sewaktu beliau merawat isteri saya kerana gangguan makhluk halus.

Jumaat, 26 Mac 2010

KONVOKESYEN

Putrajaya: "Alhamdulillah, mama bersyukur apabila mendengar nama adik di panggil untuk menerima ijazah di Dewan Puspanitapuri." Begitu kata Puan Rahani Binti Abdul Rahman, (ibu mertu aku), ibu kepada Muhamad Nizam Bin Zamri , (adik ipar aku), yang juga seorang pelajar jurusan Sijil Pelukis Pelan Senibina dari Kolej Komuniti Sabak Bernam, Cawangan Tanjung Karang.
Sempena hari lahir Puan Niza Binti Zamri, (isteri aku yang tercinta), kami meraikannya dengan penuh gilang-gemilang. Mama menangis kegembiraan ditemani Puan Norliza Binti Zamri, (adik ipar aku), beserta anak sulungnya Nor Umairah Syamina, (anak buah aku yang aktif berjalan ke hulu ke hilir tanpa mengenal erti penat dan lelah). Maklumlah baru dapat berjalan. 
Sessi menangkap gambar cukup meriah, tidak menang tangan aku melayang dia orang. Suasana cukup meriah dan gamat dalam dewan, ibu bapa pelajar penuh emosi apabila anak-anak mereka berjaya mendapat ijazah. Tahniah kepada semua pelajar Kolej Komuniti Seluruh Selangor. Selesai majlis konvokesyen kami bertolak pulang, sebelum tiba di rumah kami singgah makan kat Jaya Jusco di Restoran Johnny, mama belanja sebab senang hati dengan kejayaan anak bongsu kesayangannya dan menyambut hari lahir anak sulungnya. 
Alhamdulillah, semuanya aktiviti berjalan seperti yang dirancang. Perut kenyang, apalagi sampai di rumah semua pakat-pakat tidur keletihan. Selamat tidur siang. ZZZZZzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzzz

Ikan Toman

Ikan Toman


Ada seorang hamba Allah nama betulnya aku tak tahu, tapi aku panggil dia Bosen. Dia seorang kelasi kapal kargo. Baru-baru ini aku melawat ke rumah dia, aku diperkenalkan dengan ayah dia seorang tua yang warak orangnya. Semasa berbual aku teruja terpandang ke satu sudut dalam rumah dia, alih-alih mata aku tertumpu ke arah aquarium besar sepanjang 4 kaki. Sekejap-kejap mata aku ke arah ikan dalam aquarium. Perhatian aku terganggu seketika, aku tidak fokos pada bualan Bosen dan ayahnya. Topik hangat yang dibahaskan dia kepada aku macam dengar tak dengar, ada suatu yang menarik dalam aquarium di rumah orang tua bosen fikir ku. Akhirnya Bosen perasan dengan tingkah laku aku yang asyik pandang ke arah ikan dalam aquarium. Bosen beritahu, beberapa minggu sebelum ini ayahnya pergi memancing dekat Sungai Ibok. Semua ikan yang ayahnya dapat di simpan dalam 1 baldi. Apabila di bawa pulang semua ikan-ikan lain dah habis mati kecuali ikan yang ada dalam aquarium sekarang ini. Timbul rasa kasihan apabila ikan itu masih bernyawa-nyawa ikan. Cepat-cepat ayahnya mengambil ikan tersebut masuk ke dalam aquarium sepanjang 4 kaki dan di bela sehingga hari ini. Dan yang paling menakjubkan, ikan yang dipancing itu dibadannya ada kalimah Al-Quran. Aku meminta kebenaran mengambil gambar untuk dimuatkan ke dalam blog aku. Permintaan aku diperkenankan. Agak-agak, ada tak sesiapa sudi nak beli ikan tu? Jawapannya ada. Tetapi ikan itu bukan untuk di jual. Ayah Bosen bagitau, sejak dia bela ikan itu rezeki mereka sekeluarga melimpah ruah.

Ahad, 14 Mac 2010

Colmar Tropical, Berjaya Hills

Assalamualaikum, kami dan kawan-kawan naik ke puncak Bukit Tinggi, Pahang Darul Makmul menuju ke Colmar Tropical setelah balik dari Hutan Lipur Lentang.
Perjalanan ke sini mengambil masa 30 minit sejauh 26 km dari Hutan Lipur Lentang. Jalan banyak mendaki dan bengkang bengkok laluannya. Jangan lupa berhati-hati semasa memandu.
Dari luar, bangunan Colmar Tropical ini kelihatan seperti sebuah istana mewah. Seni bina yang sangat cantik dan indah memang memukau. Struktur bangunan ini diilhamkan daripada bangunan abad ke 61 Colmar Town yang terdapat di Perancis. Tempat makan banyak beraneka jenis makanan ada dijual di sini. 
Permandangan sangat cantik dan menawan hati. Memang tidak lengkap perjalanan percutian di Bukit Tinggi, jika anda tidak menginap di Colmar Tropical. Tidak dilupakan juga, di sini terdapat sebuah restoran yang menghidangkan makanan-makanan enak daripada Perancis. Menu istimewa di sini dijamin akan menepati cita rasa anda.

Menawarkan penginapan dengan harga yang jauh lebih murah berbanding di tempat lain. Di sini anda boleh mendapatkan bilik dengan harga serendah RM 1000 untuk semalaman. Ramai pengunjung di sini dan agak sesak.
Banyak fasiliti menarik yang disediakan seperti terdapat kolam rehat, Penghawa dingin di setiap bilik, kerusi santai di tepi kolam dan macam-macam lagi. Tidak semestinya anda perlu menginap di sini kerana anda juga boleh membayar untuk berjalan-jalan atau bergambar di kawasan perkampungan Perancis ini. Bolehlah bawa keluarga berkunjung kesini pada hari minggu untuk berlibur dan bersukaria
Alamat: KM 48 Persimpangan Bertingkat, Lebuhraya Karak, Bukit Tinggi, 28750 Bentong, Pahang



Hutan Lipur Lentang Keaslian Dan Kualiti


Assalamualaikum, aktiviti pada hari minggu kami pergi berkelah ke Hutan Lipur Lentang Pahang.
Ahad 14.mac.2010
9.00 Pagi
Jumpa kawan2 dekat tol NKVE Klang.
10.00 Pagi
Sampai di Tol Gombak. Lepak kat pam minyak BHB tengok geng2 superbike nak naik ke Genting.
Sementara menanti sebuah lagi kereta. kitaorg borak2 kosong dan ada geng kitaorg pergi ke tandas melepas. Tiba kereta yang di tunggu kitaorg menuju ke Hutan Lipur Lentang.
Seronok dapat berkumpul dengan kawan-kawan, macam-macam cerita kami kongsi bersama.

Cuasa sangat baik cerah sepanjang waktu dan redup sinaran matahari tidak terlalu terik. 
11.00 Pagi
Tiba di Hutan Lipur Lentang, sampai2 kitaorg terus pasang khemah untuk geng wanita tukar baju. Geng lelaki sibuk nak hidupkan api untuk bakar sate 300 cucuk.
1.00 Petang
Selesai menjamah makanan geng wanita turun dahulu berenang. Manakala geng lelaki sibuk bakar ikan dan kerang.
1.30 Petang
Geng lelaki pula pakat2 turun mandi. Sambil tunjuk aksi pada geng wanita. Geng wanita semua tak tahan sejuk. Mengigil seluruh badan.
3.00 Petang
Naik ke darat menjamu selera kali ke berapa taktahulah. Makan macam2. Hidangan melimpah ruah, sate bertimbun2. Kiri kanan makanan.
 Ada ikan Cencaru, Ayam, Tetuka, Dadih, Nasi Impit, Sosej, Bihun, Nasi, Buah Apple, Kerang dan Air Laicikang special.
3.30 Petang
Turun lagi beredam sampai kecut jari tangan dan kaki. Waktu ini banyak aski2 bercinta dan bergurau senda manja-manjaan.
Kami bekerja sama menyediakan makanan, makanan banyak dan kami makan sampai kenyang.
Semasa bbq geng lelaki yang uruskan, mereka tunujk skill memasak dan memanggang.

4.30 Petang
Kitaorg naik dan berkemas untuk balik. Bilas badan dekat tandas kena bayar 20sen, air kat tandas laju giler. Syok mandi dan puas.

Rabu, 10 Mac 2010

RUMAH TOKI KAMPUNG kETAM, TEMERLOH, PAHANG

Assalamualaikum, hari ini kami sekeluarga datang bertandang ke rumah Toki dan Wan di Kampung Ketam, Termeloh, Pahang.
Sungguh seronok dapat jumpa Toki dan Wan, walaupun mereka sudah lanjut usia tetapi tubuh badan mereka sihat dan kuat.
Toki dan Wan mengamalkan makan dan minum yang sangat sederhana. Amalan makan ulam dan kurangkan gula dalam minuman itulah rahsianya. Setiap hari mereka bangun seawal pagi dan melakukan solat dan senaman ringan secara rutin setiap masa.

Kolam Ikan Patin Dan Ikan Talapia sangat besar dan luas, banyak ikan didalamnya.
Hobi masa lapang Toki adalah membuat hulu dan sarung parang/golok. Minat ini dari dahulu lagi katanya. Toki suka masuk hutan dan berkawan dengan orang asli, banyak hasil hutan dia cari untuk menambahkan pendapatan seharian.

Halamn rumah Toki sangat besar dan luas dijaga rapi dengan pokok bunya hiasan. Rumput sentiasa pendek dan kemas selesa mata memandang.

Toki Bagi Keterangan Tentang Banjir Besar 2 Tahun Lepas.

Pondok untuk pancing ikam kolam disediakan untuk sesiapa yang ingin memancing di kolam. Persekitaranya bersih rapi terjaga.

Sampan Fiber Standby Takut Terjadi Banjir.

Petak Ternak Ikan Patin Dan Talapia.

Buah Sunkist Dan Buah Mengkudu Banyak Terdapat Di Kebun Toki. Beraneka buah-buahan ada di kebun Toki, durian manggis, rambutan, limau dan lain-lain lagi.
 






Semalam, Rabu (10.3.2010), aku dan isteri melawat adik yang terlantar sakit kerana kemalangan di Hospital Temerloh. Selepas pulang dari hospital, aku singgah sekejap ke rumah toki dan tokwan di Kg. Ketam Temerloh Pahang. Tenangnya suasana kat rumah toki. Best giler. Ikan patin dan talapia melompat2 dari dalam kolam. Lepak kat kolam dan borak2 cukup asyik sampaikan, rasa taknak balik ke KL. Ingat esok kerja, gagahkan juga kaki ini balik ke KL. Cuti nanti aku nak balik rumah toki lepak kat sana barang 2-3 hari pastu memancing puas2 kat kolam. Dapat ikan je terus panggang dan buat bbq kat tepi kolam. Cicah ikan dengan air asam.


Khamis, 4 Mac 2010

Assalamualaikum

Baru belajar mahu buat blog, hahaha kelakarkan tiada idea yang bernas dan kepala masih kosong. Otak sudah perah bagai nak rak, tapi idea masih belum muncul-muncul. Alkisahnya sudah lama tidak menulis macam hari ini. Pejam celik, pejam celik adalah idea 1, 2 dan 3 terlintas di dalam minda ini mahu tulis serba sedikit pengalaman lalu yang banyak mengajar erti kata urut tradisional lelaki. 

Pada tahun 1982 sewaktu aku berumur 6 tahun masih tadika pernah berlaku kemalangan semasa leka bermain kejar-kejar dengan kawan-kawan kelas, aku jatuh terbongkang dalam longkang dan pergelangan siku kiri aku patah. Aku pengsan dan ingatan tentang peristiwa itu menjadi kabur sangat. Arwah Nenek yang bernama Hajjah Teh bawa aku mengurut ke kampung Chendol, Kuantan ke rumah tukang urut ibu penarik beca yang bernama Pak Usop. Alhamdulillah siku aku dapat dimasukkan semula ke dalam soketnya.

Pada tahun 1984 sewaktu aku berumur 8 tahun dalam darjah 2, aku panjat beranda di rumah Nenek Hajjah Teh tanpa disangka-sangka aku terjatuh dari tangga yang paling atas ke bawah. Siku kiri aku patah lagi sekali, Ayah aku bawa pergi mengurut ke Kampung Ibai, Kijal. Tukang urutnya naik Sheikh apabila urut seluruh tangan aku. Aku melalak bagai nak gila sebab sakit punya pasal. Alhamdulillah siku aku ok dan aku juga ok dari melalak sebab sudah kena belasah dengan kayu dari Ayah aku.

Pada tahun 1986 sewaktu aku berumur 10 tahun dalam darjah 4, aku pergi bermain di padang permainan pada hari Jumaat. Seronok bermain panjat tiang besi buaian sambil berkejaran dengan kawan-kawan sepermainan aku jatuh dari tempat yang paling tinggi sekali. Siku tangan kanan patah dan bahu kanan terseliuh sehingga leher aku tidak dapat dipusingkan. Melalak sakan aku waktu itu, datang seorang Hamba Allah bernama Pakcik Jali bawa aku pulang ke rumah. Basikal aku tertinggal di padang permainan dan terus hilang sampailah ke hari ini. Hari berikutnya Nenek aku yang bernama Semek bawa aku berjumpa dengan tukang urut di Kampung Meraga Beris. Alhamdulillah siku, bahu dan leher aku sembuh seadanya.

Pada tahun 1994 sewaktu aku berumur 18 tahun baru tamat tingkatan 5 aku bekerja di sebuah warehouse perkapalan. Kerja aku hantar surat-menyurat ke warehouse-warehouse, nasib aku malang berlaku kemalangan melibatkan fortlift dan 2 buah motorsikal. Aku sedar sudah terbaring di hospital, kejadian itu juga kabur dalam ingatan aku. Pergelangan sendi tangan aku terkeluar dari soketnya, tulang lengan tangan kiri aku patah 3, siku terkehel dan bahu terseliuh dan bengkak. Doktor mahu jalani pembedahan tetapi aku taknak. Aku pergi berjumpa Toki Kampung Atas Tol untuk mengurut, berkat kesabaran aku ulang mengurut dengan Toki akhirnya tangan aku pulih seadanya. Syukur pada Allah kerana aku sembuh sepenuhnya walaupun tidak 100% baik.

Pada tahun 2004 sewaktu aku berumur 28 tahun bekerja sebagai operator kilang, semasa pulang dari bekerja aku singgah ke kedai 7/11 untuk membeli prepaid handphone tiba-tiba tapak tangan aku di sengat lebah semasa hendak membuka pintu kedai. Selang beberapa jam kemudian tangan aku jadi bengkak-bengkak dan aku terus demam, sedar tidak sedar 2 minggu aku terlantar sakit di rumah makcik. Naik turun klinik ambil ujian darah sebab doktor kata sel darah putih dalam badan aku terlalu banyak, jadi sel darah merah kurang aktif itu sebablah aku jadi demam yang tidak kebah-kebah. Genap 1 bulan aku demam akhirnya aku sembuh sepenuhnya dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa. Di sini aku ingin menceritakan pengalaman semasa terlantar sakit selama 1 bulan. Hanya Allah sahaja yang mengetahui betapa sakitnya aku selama 1 bulan itu. Kerja aku sehari-hari hanya tidur sahaja tanpa boleh melakukan apa-apa aktiviti. Makcik aku beritahu aku hanya bangun apabila mahu ke tandas, aku juga hanya makan sekeping roti dan minum air kosong segelas sehari. Entahlah aku tidak ingat langsung peristiwa semasa aku terlantar sakit selama 1 bulan.

Bila difikirkan semula kenangan itu indah ada suka dan dukanya, tetapi aku tidak dapat membeli kenangan itu. mahalnya kenangan. Jauhnya ia berlalu pergi.

Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokan,
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.